...Burung Tempua Bersarang Rendah..

"Blogspot khusus untuk pemantun-pemantun Taman Ilmu dan Budi."

Saturday, January 13, 2007

IIUM Pantun Festival 2007

Coming soon:

Program: IIUM Pantun Festival
Organizer: IIUM Poetry Club
Tentative date: 9-11 February 2007 (friday - sunday)
Venue: Cultural Activity Center
Registration: Open to all registered students of IIUM. Limited to 4 members per group and up to 15 groups only. Kindly refer to Cultural Unit of IIUM for further information.

Friday, April 14, 2006

Cadangan Pindaan untuk Format Pertandingan Pesta Pantun MAKUM

Isnin hingga Rabu lepas, kami telah selamat bergembira di Hotel Seri Malaysia Sepang. Program yang direka khas untuk menghargai barisan jawatankuasa program Pesta Pantun MAKUM 2006. Seronok bukan kepalang. Terima kasih kepada kak Maswa, kak Kiah, dan abg Izan yang menganjurkan program ini. Namun, kami bukan sekadar bergembira tetapi diberi tanggungjawab untuk merangka perancangan bagi Pesta Pantun MAKUM 2007 pula. Segala kekurangan dirungkaikan dan dijadikan panduan untuk pengajaran akan datang.

Dan kami, kumpulan Pemantun UIAM diberi tugasan untuk mengkritik format pertandingan dan juga perkara-perkara lain secara am. Tapi di laman ini, saya lebih berminat untuk berkongsi dengan kalian tentang komen kami berkaitan syarat-syarat pertandingan yang pada hemat kami perlu diubah pada masa akan datang.

1)PANTUN SOALAN TIDAK PERLU DIHAFAL.
Untuk apa kita menghafal pantun jual kalau hanya menambah tekanan? Kalau untuk menguji kemahiran membuat pantun jual, adalah lebih baik diadakan cabutan tema pada pusingan ketiga seperti yang dipraktikkan di pentas akhir. Itulah cara terbaik untuk menguji kehebatan pemantun membuat pantun jual.

2)CABUTAN TEMA DIBUAT DI SETIAP PUSINGAN KETIGA UNTUK SEMUA PERINGKAT PERTANDINGAN.
Maksudnya, format yang sama digunakan dari peringkat saringan hingga ke peringkat akhir. Dan cabutan tema dibuat dalam setiap pusingan ketiga. Cadangan ini kami buat memandangkan pemantun telah diberikan kelonggaran untuk membawa masuk pantun jual. Lagipun, format Pesta Pantun MAKUM adalah pantun spontan. Jadi, pemantun seharusnya cekap membuat pantun jawapan dan juga pantun soalan, kedua-duanya secara spontan.

3)PEMANTUN TIDAK DIBENARKAN BERBINCANG.
Kenapa perlu diadakan anugerah pemantun terbaik? Untuk mengiktiraf kehebatan individu bukan? Jadi kalau dibenarkan berbincang, bagaimana kita hendak mengiktiraf kehebatan setiap pemantun secara individu?


Jadi, apa kata kalian? Setuju?
Pastinya, Pesta Pantun MAKUM 2007 bakal menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada 2006, baik dari segi penganjuran mahupun pertandingan. Insya Allah. teruskan berpantun!




Thursday, April 06, 2006

Video Pesta Pantun MAKUM

Rakaman video Pertandingan Akhir Pesta Pantun MAKUM yang lepas sudah kami miliki. Terima kasih kepada UPM yang sudi memberikan kepada kami salinannya.



Tapi yang peliknya.. kenapa Saudara Muhammad kita (pemantun UPM) asyik meminta rakaman video tersebut daripada kami (UIAM) ya? Sedangkan UPM lah yang membuat rakaman pada malam tersebut. UIAM video debat banyaklah. Kalau pantun.. erm.. entah lah..Kami selama inipun rakam guna "handycam" kami sendiri saja. Betul tak atbk? hehe...



Kerana apapun, biar apapun, bagaimana sekalipun, pantun tetap pantun, kiasan tetap kiasan.

:-)

Apa Ada Dengan Menang?

Suka suki ATBK je mengata aku malas menulis ya? Hehe... Mungkin betullah kot? Sebenarnya, bukanlah malas, tapi semangat itu sedikit sebanyak hilang. Mungkin merasakan apa yg ditulis di sini tidak memanfaatkan sesiapa. Tapi hari ini aku mula sedar. Ada sesuatu yang mencuit hati aku untuk menulis kembali. Sebabnya? Biarlah hanya aku dan ATBK yang tahu. hehe..

Pesta Pantun MAKUM dah lama berakhir. Terus terang aku katakan, aku sangat kecewa dengan kekalahan kami. Bukan sebab tidak dapat menerima kekalahan, tetapi kerana aku tak dapat membuktikan kepada warga UIAM bahawa kita memiliki pasukan pantun yang digeruni oleh universiti-universiti lain. (sumber: blog-blog rakan pemantun universiti lain). Kenapa kami mahu membuktikan semua ini? Di sini adalah jawapannya.....

Sejak tahun pertama aku bergelumang dengan pantun, kami pernah kalah dan kami pernah menang. Tapi kami tetap dipandang sebagai antara pasukan pantun paling konsisten bersama UPM dan UKM (pandangan peribadi). Tetapi di sebalik semua ini, aku amat berharap agar warga UIAM juga dapat berkongsi rasa bangga dengan kami. Bukan bangga sebarang bangga, tapi bangga dengan perkembangan pantun melayu di Taman ini, lantas menyuntik semangat mereka untuk turut serta bersama kami memartabatkan warisan Melayu ini. Itu sahaja. Semuanya kerana kecintaan kami terhadap pantun dan puisi.

Kami selalu berhadapan dengan kesukaran untuk mencari barisan pelapis. Semata-mata kerana ramai yang tidak menyedari perkembangan puisi melayu di UIAM, baik pantun mahupun genre2 yang lain. Persoalannya, bagaimana kami harus meyakinkan rakan-rakan pelajar untuk menyertai kami kalau pihak atasan sendiri seolah-olah tidak merestui perjuangan kami. Maka tidak hairanlah ramai peminat puisi Melayu di UIAM menyertai kumpulan penggiat sastera dari luar seperti PENA. Dan aku tidak hairan kalau Kelab Puisi UIAM pernah dianggap sudah terkubur di bumi UIAM ini. Bayangkan betapa remuknya hati tenaga kerja Kelab Puisi yang berhempas pulas bekerja dan tiba-tiba dilemparkan soalan "Kelab Puisi masih aktif ke?"

Atas kesusahan inilah, kami berusaha sedaya upaya untuk mengangkat martabat warisan Melayu ini di bumi UIAM ini. Secara psikologinya, manusia akan lebih berminat untuk menyertai sesuatu pergerakan berdasarkan sejarah yang pernah dicipta oleh pergerakan tersebut. Semestinya mereka ingin turut sama mencipta sejarah bersama-sama pergerakan tersebut dan merasai kepuasannya. Dan atas dasar teori inilah, aku seboleh mungkin mahu membuktikan kepada seluruh warga UIAM bahwa "Kelab Puisi UIAM turut memiliki sejarah tersendiri". Maka ayuh! Kita tinggikan lagi martabatnya di sini. Di taman ilmu dan budi ini.

Dan di Pesta Pantun Makum, kami tidak berupaya melakar sejarah manis sepertimana yang biasa kami lakukan dalam pertandingan-pertandingan lain di luar UIAM (menerusi kemenangan). Mengapa sejarah mesti disinonimkan dengan kemenangan? Kerana itulah yang dipandang oleh warga UIAM terutamanya.. ah! anda tahulah siapa yang paling berbangga dengan kemenangan.

Biarpun tidak menang, tapi dengan penganjuran ini, aku tetap berbangga kerana UIAM dipilih untuk menjadi tuan rumah pertandingan ini adalah kerana sejarah kejayaan UIAM dalam arena pantun. Dan sekurang-kurangnya masyarakat UIAM tahu bahawa UIAM juga mampu menganjurkan pesta pantun dan mampu menghantar pasukannya sendiri. Harapnya sedarlah mereka bahwa pantun masih bernafas di bumi bertuah ini. Harapnya, penganjuran ini cukup untuk membantu kami mencipta sejarah di sini.

10 - 12 April depan, pemantun UIAM dan semua komiti pertandingan MAKUM yang lepas akan melancong ke Hotel Seri Malaysia Sepang atas nama program penghargaan. Menghargai jerih perih kami berbulan-bulan menjaga nama baik UIAM. Terima kasih kerana menyediakan program penghargaan ini yang pada hemat aku, lain daripada yang lain. Biar apapun alasannya program ini dianjurkan, aku tetap berharap ia adalah demi memartabatkan puisi melayu di Taman Ilmu kebanggaan ramai ini..

Terima kasih kepada semua yang terus menyokong kami.

Wednesday, February 22, 2006

Gambar2 Pesta Pantun MAKUM 2006

Mmmm..dah lame xupdate, kalu nak mengharapkan si contributor sorang lagi tu..harapkan ngadap internet sampai ke pagi..berjanggut sampai ke buku lali pun haram dia nak tolong "update"kan...(jgn marah..huhuhu)..

Sedar x sedar...dah dekat sebulan minggu Pesta Pantun MAKUM berlalu... kami tumpang gembira dengan kejayaan UPM sebagai juara, ye la...kalu dah 12 tahun xpernah memenangi pe pe pertandingan, memang kengkorang sebagai pembuka lembaran baru sejarah pemantun UPM patut terus berbangga dan masih terbawa2 ke tidur kenangan indah korang tu hingga ke saat ini... kepada Muhammad, Awang, Nurdiana Liki dan sorang lagi (aku xingat nama)...jutaan TAHNIAH kitorang ucapkan! Senior2 korang yang "baik" ngan kitorang tu mesti dah belanje korang makan ye tak?

Aku paling ingat akak Flora Ilyana...memang seorang pemantun UPM yang hebat dengan gaya tersendiri...aku sempat "bertentang mata" sekali je dengannye mase Pertandingan Pantun Bulan Bahasa dan Sastera Negara anjuran DBKL (xsilap aku 2003)... dah la first time naik bertanding, spontan pulak tu...mase aku menghabiskan rangkap terakhir pantun beli dari Kak Flora, aku cuba lemparkan pandangan mataku ke arahnya sebagai penyudah..rupa2nya Kak Flora dah sedia tersenyum sinis dan tengok tepat kat mata aku sambil menyuakan ibu jari ke arahku dan mengagguk yakin seolah dalam hatinya berkata "silakan!" ...aku mmg terkejut dan nyaris2 tersasul menyudahkan 2 perkataan terakhir pantun aku..mmg psycho!!! Kak Flora masih menjadi pemantun istimewa dari mata aku sampai ke saat ini kerana dia merupakan satu2nya pemantun wanita yang apabila sedang mereka2 jawapan spontannya...bibirnya xpernah lekang dengan senyuman manja sambil hujung jari bermain2 selendang...mantap!!! Tahniah sekali lagi buat UPM!!!

UUM sebagai naib johan pula ada cerita tersendiri...sejak sekian lama menyepi dari menyertai mana2 pertandingan intervarsiti (sejak makum 2002 tu!) inilah penampilan pertama mereka. Dengan kontroversi dua UUM team merebut kelayakan sebagai wakil ke pertandingan tempoh hari, pulak tu persalinan yang ala kadar... kejayaan korang ke final memang menjadi inspirasi kitorang yang dah selalu turun naik bertanding tapi nak berpantun pun gugup lagi! Mustaqim si pemantun confident giler...biarlah pembayangnye "hancur" (ni pengiring korang yang cakap, ok!) tapi aku cukup kagum dengan sikap maintain yakin die. Pemantun manis pun xkurang hebatnyer (lupa nama), apatah lagi shahrul (ye ke?) pemantun ketiga UUM yang walaupun memek mukanya macam baru putus cinta namun sentiasa membuat penonton teruja dengan jawapan2 kreatif! Aku masih ingat lagi jawapan bagi soalan jenaka "mengapa lesu atas pelamin?" dia jawab "kerana xsabar menunggu malam!" walaupun "dalam" maksudnya cukup membuatkan kitorang exited dan terus bertepuk-sorak. Pulak tu muncul sebagai pemantun termuda...berapa tahun? hehehe rahsia... Tahniah UUM!!!

Ni cerita kitorang pulak...hanya satu je dapat disimpulkan dari kekalahan kami = takde rezeki. Kami pun dah post mortem dan memutuskan bahawa persembahan kami yang agak hambarlah yang menyebabkan hakim lebih favour kepada persembahan meyakinkan dari UUM mahupun UKM. Tapi jauh dari itu, kami sangat2 cemburu dengan keprihatinan Timbalan Naib Canselor korang yang sanggup turun padang menyaksikan anak didik mereka bertanding..kalau dari UPM tu munasabah la..dekat..ni dari UUM utara nun mai datang..wah, salute la kat korang! Kalu nak dibandingkan dengan kami..kami kalah berganda2 lagi!!! Pernah van yang sepatutnya menghantar kami ke tempat pertandingan di DBKL tak muncul2 padahal pertandingan ada lebih kurang setengah jam je lagi...nak tak nak kami terpaksa sewa kereta kancil 5 ringgit sejam yang diusahakan oleh student2 tu. Bayangkan dengan bersampin bertengkolok tu kami meredah traffic jam ke pusat bandar KL. Mase berenti2 tu...memanglah yang memandang pasti pelik...dari driver sampai ke seluruh penumpang berpakaian sedondon..bertengkolok plak tu!

Dan setakat aku mengiringi dan menyertai pantun sejak 2002, TAK PERNAH sesiapa pun yang mengisi jawatan tertinggi pentadbiran memberi sokongan dengan menghadirinya..kat KL pun tidak, kat nun jauh di USM tu apatah lagi! Lagi pula nak bawak jurukamera macam UPM buat ari tu! Kemenangan kitorang tak pernah diuar2kan pun oleh pihak universiti...hanya kerana kami bukanlah menang International Debate ataupun International Moot Competition, yang kemenangan mereka disebar-luaskan ke seluruh universiti dengan printed banner berkeping2... satu banner tu ade la dalam RM150 je...(je?) AJK Pesta Pantun sendiri bertanyakan "UIA terer ke berpantun? Tak tau plak UIA ade team Pantun!" Aku xberniat nak mengecam sesiapa, jauh sekali memalukan universiti sendiri..cuma berharap ada perubahan di hari2 mendatang...

Masing2 ade cerita tersendiri...benarlah kata orang, bukan kejayaan itu yang menjadi kenangan tetapi jalan ke arah menuju kejayaan itulah yang paling diingati, terpahat di sanubari..bak kate Cikgu Ali Badrun dalam pantun good bye nye "bagai paku lekat di papan!"

Buat seluruh warga kerja Pesta Pantun MAKUM 2006, sebagai tuan rumah program pantun intervarsiti julung2 kali di UIAM ...korang hebat!
Yang berlalu tu biarlah berlalu...dengarnyer ade yang dah merajuk2 xnak jumpa orang itu, orang ini..jangan lah macam tu..profesional ok!

mana dapat tumbuhnya rokan,
pucuknya panjang menghala barat,
mana yang singkat kita sambungkan,
mana yang panjang minta dikerat.


Buat peserta2 lain..jika aku bisa sebutkan disini:
ukm
unimas
kutkm
upsi
usm...

Ukhuwah yang terjalin biarlah bersambung sampai ke mati... kalu boleh berpantun kat sini..
kita berpantun! Aku terfikir nak buat perlawanan persahabatan mengumpulkan semua universiti..tapi kali ini team akan bercampur, satu team hanya akan ada satu wakil universiti... dan kita berlawan sesama sendiri sambil berkongsi cinta dan pengetahuan kita kepada pantun, amacam..orait tak? kalu buleh kita panggil senior2 kita yang dah jadi mak bapak orang join sekali....barulah best! xde la lepas pertandingan nak balik cepat je bile kalah...(nasib baik team kitorang tuan rumah..walaupun ade rase nak balik sbb kalah..balik kolej kediaman je..heheheh)

Sebagai penutup, tataplah gambo2 korang ni..ehsan AJK pertandingan pantun hari tu..Enjoy!
p/s: kalu korang ade video atau gambar pertandingan hari tu, sudi2 kanlah kongsi ok!



























Thursday, February 02, 2006

poster PESTA PANTUN MAKUM siap...



ni aku letak due2 warne poster..yang ijo kene banned..biase ler..so, purple je akan jadi tatapan public..

Monday, January 23, 2006

Festival Pantun Piala Canselor MMU Melaka

Selama tiga hari, lapan pemantun taman ilmu dan budi berkampung di MMU Melaka untuk melunaskan janji mereka.

Kami menghantar dua pasukan untuk bertanding. UIAM (A) dan UIAM (B). Satu pasukan dihantar secara rasmi (dibiayai oleh UIA) manakala satu lagi secara tidak rasmi (secara suka-suka dan kami laburkan duit sendiri RM 50 seorang).

Peringkat saringan secara liga agak memeritkan. Pertama, kerana tema-tema pantun hanya akan diberikan 30 minit sebelum pertandingan. Kedua, setiap pasukan akan melalui empat perlawanan untuk menentukan juara kumpulan. Ketiga, kami masih belum benar-benar bersedia baik dari segi latihan mahupun persediaan pantun-pantun untuk dijual.

Alhamdulillah, peringkat saringan berakhir di mana Pasukan UIAM (A) berjaya menjadi juara kumpulan A manakala Pasukan UIAM (B) berjaya menjadi naib juara untuk kumpulan B. Berikut adalah kedudukan pasukan setelah peringkat saringan berakhir:

KUMPULAN A
1. UIAM (A) - 3 menang 1 kalah
2. UPM - 3 menang 1 kalah
3. UKM
4. MMU CYBERJAYA
5. UNITEN

KUMPULAN B
1. MMU MELAKA - 4 menang
2. UIAM (B) - 3 menang 1 kalah
3. KPM BERANANG
4. KUSTEM
5. UTM

Maka, dua pasukan teratas dari setiap kumpulan layak ke separuh akhir. Ah! Kami ditakdirkan untuk bertemu sesama sendiri pula. Perlawanan separuh akhir antara UIAM (A) dan UIAM (B). Justeru, UIAM sebenarnya telahpun menempah tiket ke peringkat akhir. Manakala MMU Melaka pula ditemukan dengan UPM.

Dipendekkan cerita, 2 pasukan yang layak ke peringkat akhir adalah UIAM (A) dan UPM. Erm... UPM sememangnya lawan tradisi UIAM sejak tahun 2000 lagi. Kami pasti akan bertemu dalam mana-mana pertandingan pantun yang dianjurkan seperti MAKUM, Bulan Bahasa DBKL, TRiTUN, dan Piala Canselor MMU Melaka ini. Begitulah eratnya hubungan kami di arena pantun.

Pertandingan akhir menyaksikan UPM dinobatkan sebagai juara. Nordiana Liki, pemantun ketiga UPM pula berjaya membawa pulang anugerah pemantun terbaik. Kami terpaksa akur kepada keputusan. Pertandingan akhir ini aku kira amat sengit. Justeru sedikit kesilapan akan membawa padah yang besar. Ternyata, kami perlu lebih berhati-hati lagi untuk masa akan datang.

Walau apapun, ada beberapa perkara menarik yang kami lalui selama tiga hari ini:

1. Pasukan A yang kononnya dihantar sekadar suka-suka, berjaya layak hingga ke pusingan akhir. RM 50 yang dilaburkan saya kira amat berbaloi.
2. Ros Aniza, pemantun pertama UIAM (A) berjaya menjadi pemantun terbaik sebanyak 4 kali. Saya kira yang paling banyak berbanding pemantun-pemantun pasukan lain.
3. Separuh akhir mempertemukan dua pasukan adik beradik yang jarang-jarang berlaku pada mana-mana pertandingan lain. Kali terakhir seingat saya adalah di MAKUM apabila USM (A) bertemu USM (B).
4. Pertandingan separuh akhir tersebut seolah-olah menjadi medan untuk kami melihat prestasi kami secara individu. Ibarat sesi latihan. Bezanya, kami berbaju melayu bersamping bagai :-)
5. Pasukan A sebenarnya adalah pasukan pelapis UIAM. Dua daripada mereka (kecuali Ros Aniza) tidak pernah duduk di pentas pertandingan pun. Tetapi kejayaan mereka melayakkan diri hingga ke peringkat akhir amat membanggakan kami; UIAM (B) yang merupakan pasukan senior UIAM.
6. Tujuan asal kami ke pertandingan ini adalah untuk memantapkan persediaan demi PestaPantun MAKUM yang bakal berlangsung Februari ini. Tak sangka pula kami berjaya sehingga ke peringkat ini.
8. Unit Kebudayaan UIAM sebenarnya telah menolak permohonan kami untuk menyertai pertandingan ini kerana hendak memberi tumpuan kepada penganjuran MAKUM yang bakal berlangsung di UIAM. Namun, setelah kami merayu untuk turut serta (degillah konon) akhirnya dua hari sebelum tarikh tutup penyertaan, kami dilepaskan juga. Alhamdulillah.

Tumbuh palas tepian kapas
Daunnya panjang menghias laman
Yang lepas biarkan lepas
Yang mendatang kami nantikan


Pertandingan Pantun Antara IPTA anjuran MAKUM-UIAM hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi. Kami mengorbankan cuti pertengahan semester untuk ini. Moga-moga, Allah merestui perjuangan kami. Insya Allah

Saturday, January 14, 2006

Pesta Pantun MAKUM-UIAM 2006




Laaaaammme giler xupdate...
tup2..tinggal brape minggu je MAKUM
tarikh latest 10-13 februari 2006
ni aku letak logo ..sample je! tema pun xdecide lagi..

pestapantun MMU Melaka minggu depan..
jumpe disane..