...Burung Tempua Bersarang Rendah..

"Blogspot khusus untuk pemantun-pemantun Taman Ilmu dan Budi."

Monday, August 15, 2005

Bagaimana team Taman Ilmu melakukannya?

Di sini kami ingin berkongsi tips2 yang diperturunkan dari senior2 kami juga daripada pengalaman kami dalam Pertandingan Pantun...khususnya format menjawab spontan tanpa menulis. Kalau kami tak pernah menang sebelum ini pun mungkin takkan menulis disini, tetapi kami bukan juga nak berlagak dengan kejuaraan2 terdahulu, niat di hati sekadar mahu berkongsi, mungkin pertandingan MAKUM akan datang lebih kompetetif, sihat dan mesra! Sebelum itu pembaca digalakkan membaca artikel daripada Shahnon Ahmad yang telah di "post" sebelum ini. Setakat ini hanya Majlis Kebudayaan Universiti2 Malaysia (MAKUM) yang menganjurkan pertandingan berformat sedemikian. Namun format bertulis juga sesuai diaplikasikan, kenapa? Sudah pasti kerana telah kami melakukannya dengan berjaya dalam pertandingan bertulis juga!

1. Pantun mestilah direct atau tidak berkias
Mungkin ada yang menganggap hilang puitis pantun jika terlalu direct. Namun kenapa pantun mesti berkias jika disana ada tema "kias ibarat"? Sebenarnya pantun direct leh yang sukar dijawab kerana penjawab harus menjawab soalan dengan tepat malah hakim lebih mudah mengesan kegagalannya menjawab sekiranya si penjawab menjawab pantun dengan berkias. Lebih teruk lagi apabila jawapan kepada soalan itu salah!

Sebagai contoh dalam satu pertandingan, sebuah pasukan menjual pantun bertema Bahasa dan Kebudayaan berbunyi begini:

"Andai kering syair di laut,
Bisakah banjir nazam di gunung?"

Soalan yang berkias mungkin pada pendapat si penjual bakal memerangkap si pembeli, namun
soalan yang berkiaslah mudah dijawab kerana jawapan yang mudah bagi pantun tadi adalah dengan menjawab dengan pantun berkias juga. Sebagai contoh:

"Syair di laut, nazam digunung,
Terus bersemi dek hujan kesedaran"

Nampak seperti tidak menjawab, tetapi kita sendiri boleh bertanya semula, "Apakah soalan pantun ini sebenarnya?" Justeru, cubalah ajukan soalan direct, contoh:

" Sungguh indah bahasa bangsa,
Di arus masa mengapa terpinggir? "

Atau:

" Dikala segak bertali leher,
Malukah dijamu ulam pegaga?"

Soalannya jelas, mudah difahami. Cuma mungkin kerana soalannya difahami akan menyebabkan pembeli bertanya diri sendiri "mengapa ya? mengapa ya?" "Malukah aku kalau dijamu ulam dengan baju kemas?" Latihan yang cukup akan memudahkan pembeli menjawab soalan sebegini. Mengenai cara menjawab, penulis akan kupas di bahagian menjawab pantun.

2. Menyampaikan Pantun dengan bersahaja.
Hmmm, mungkin ramai yang keliru antara format sekolah menengah dengan IPT. Ini termasuklah saya. Sewaktu di sekolah, kami di latih untuk menyampaikan pantun mengikut standard intonasi tertentu. Lelaki digaraukan suara, diungkapkan seperti mendeklamasikan sajak dengan tangan digayakan keterlaluan, berjalan dari hujung meja ke hujung meja yang satu lagi. Manakala yang perempuan dengan nada suara mendayu-dayu dangan pitch tinggi! Sedar atau tidak bukan pantun sahaja, malah pertandingan debat juga begitu. Bukan ada peraturan atau apa-apa syarat-syarat pertandingan yang mahukannya begitu. Cuma mungkin jangkaan hakim-hakim terhadap pelajar-pelajar universiti lebih tinggi. Sepatutnya semakin dewasa semakin matang barangkali.

Sampaikanlah pantun anda dengan bersahaja. Penulis mungkin boleh menggambarkannya dengan membawa pembaca-pembaca semua ke alam pantun ketika ia masih jadi amalan seharian. Si teruna memikat si dara. Majlis merisik, menghantar rombongan dan sebagainya. Takkan nak mengurat pun nak buat2 gaya berjalan ke sana ke mari. Kita sendiri boleh bayangkan takkan atuk nenek kita buat begitu, betul tak? Ucapkanlah pantun anda seolah2 anda berada di zaman2 itu. Lagipun org dahulu buat pantun dalam kepala, bukan perlu membawa pen dan kertas ke hulu ke hilir. Lagi pula tulisan dahulu tulisan jawi, nak samakan hujung dan tengah dalam rumi pun mengabil masa, apatah lagi dalam jawi. Apakah pokok hujungnya "sin" dan "wau" untuk samakan maksud "mim-mim-ba-ya-sin-wau"? Tak ke lucu tu?

Jika anda ingin kenakan si penjawab dengan pantun jenaka, sampaikanlah dengan nada mengusik. Anda pun tahu cara mungusik teman2 bukan? Bezakan antara nada mengusik teruna dengan anak dara. Pastilah malu tersipu-sipu bertanya anak dara begini:

"Cincin di jari terlihat sudah,
Bisakah lagi ku tumpang bermanja?"


Andai pantun kecewa atau sedih..pamerkan kesedihan anda? Takkan senyum pula bertanya begini:

" Kaki tak jejak tangan tak sampai,
Bisakah ku pinang puteri idaman?"


Mengenai intonasi, terpulang pada anda. Jadilah diri sendiri. Ingat, kita berpantun, bukan bersajak atau mengungkapkan skrip teater dengan kuat. Kata kuncinya mudah, BERSAHAJA!

Ha, jangan lupa eye contact dengan penonton, hakim, pemantun lawan serta rakan sepasukan. Penting tu!



3. Jadilah org Melayu sebenar.
Tak cukupkah menjual dan membeli pantun untuk menjadi org melayu? Haaa.. di sinilah kelemahan beberapa pasukan yang masih dibayangi style sekolah menengah. Percaya atau tidak, pantun yang dijawab tepat akan kurang markahnya di pandangan hakim2 andai anda mengarahkan jari telunjuk kepada si penjual ketika menjawab penuh semangat dengan muka bengis (atau buat2 bengis). Ada pula yang mengangkat keris bersarung sewaktu menjual. Nak gaduh ke? Masakan tidak perasan, apatah lagi hakim2 kita orang2 lama yang masa muda mereka diterapkan dengan kesopanan, sakit mata mereka melihatnya! Pulak tu diperingatkan semula sewaktu memberi ulasan sebelum mengumumkan keputusan.Buat lakonan semula lagi!

Justeru, hayatilah objektif pantun dalam hidup Melayu. Gunakanlah ibu jari untuk menunjuk, biar marah atau kecewa jawapan anda.
Pantun untuk bermesra. Bukan untuk bermusuh.
Pantun yang diucapkan sebelum bergaduh dalam filem2 dulu pun penulis percaya bukan untuk memulakan pergaduhan, tetapi untuk menahan2 marah di dada. Kalau betul2 nak bunuh, buat pe nak berpantun2 lagi? Tikam je la, ye tak?

4. Create win-win situation! Jawab dgn adil.
Mungkin ada yang berpendapat hilanglah objektif bertanding kalau nak wujudkan persaingan serata. Malah penulis percaya, masih ramai berpendapat selagi boleh dimalukan si penjual dihadapan penonton, selagi itulah jawapan2 harus diungkapkan dengan "membunuh".
Sebagai contoh, andai ditanya:

"Dimanakah hamba hendak bercermin,
Cermin kasih retak seribu?"


Dijawab pula begini:

"Usah kau harap cermin bersambung,
Hidung tak mancung muka bak papan!"


Penonton pasti ketawa, tetapi apa perasaan si penjual? Mungkin tidak terasa andai apa yang dikatakan tidak benar. Tapi kalau memang benar? Lebih teruk lagi kalau hakim pula terasa.
Kan elok dijawab begini :

"Berkongsi cermin hamba sudikan,
Suka dan duka biar bersama."

Sekalipun pantun soalan benar2 melukakan hati anda, pulangkanlah dengan senyuman berserta jawapan yang penuh mesra, menujukkan anda tidak marah dan bersedia memaafkan dan menjalinkan hubungan walaupun si penjual berlaku bongkak sewaktu mengungkapkan pantun. Contoh:

"Mengapa mengaku keturunan Tuah,
Baru di jeling langkah seribu?"

Jawablah begini:

"Tak rela hamba nyawa tergadai,
Anak dan isteri kelak derita."

Jangan pula diapi2kan lagi pergaduhan:

"Pasti hamba langkah seribu,
Keris pusaka tertinggal di rumah"

Penonton yang mendengar pun senang hati. Apatah lagi si pembeli, terjalin kemesraan disitu. Saya yakin pembaca pun tersenyum. Melayu kan?

5. Jangan abaikan penonton!
Ramai kurang berminat menonton pertandingan pantun kerana pantun dijual atau dijawab sukar difahami. Penulis sendiri mengakui banyak pantun2 penulis sendiri sewaktu disekolah dahulu ntah apa apa. Tak faham pun! Penulis tekankan kembali disini pantun dijual mestilah direct. Jika penonton mendengar pantun dalam contoh pertama tadi, tidakkah berkerut muka mereka memikirkannya. Memang bukan penonton yang memberi markah, tatapi reaksi penonton pasti menambahkan keyakinan hakim. Apatah lagi jika satu dewan bertepuk tangan, ketawa atau yang menjerit dari kejauhan, " Ewahhhh!" Kan meriah tu? Kalau penonton senyap sunyi, ada pulak yang berterus terang dari jauh, "Tak faham pun," takkan hakim nak bagi markah tinggi lagi.

Jadi "rakyat"kan pantun anda! Usah terlalu menggunakan bahasa2 puitis yang hanya penuntut satera Melayu klasik sahaja yang memahaminya. Mengapa gunakan "nirmala" walaupun ada perkataan yang mudah digunakan sehari-hari seperti "bersih" atau "suci"? Mengapa guna "ujana" kalau lebih difahami guna "taman"?

6. Jual dan jawab ikut tema!
Buat pantun menepati tema, ketika menjual mahupun membeli. Kalau tema bahasa, masukkan perkataan "bahasa" ke dalam pantun, atau menggunakan perkataan yan paling hampir dengan bahasa, seperti "tuturan" atau apa-apa yang berkait dengan bahasa seperti "syair", "gurindam" dan sebagainya. "Zapin" pasti terkeluar daripada tema bahasa, setuju? Apatah lagi "merisik", "tsunami" mahupun "tambatan ringgit"?

Lagi satu, tema Jenaka atau Percintaan. Banyak pasukan keliru konsep tema ini dan banyak kali jugalah hakim2 DBP mengingatkannya. Tema ini harus ada unsur kecindan atau mengusik. Dalam erti kata lain pendengar sama ada pematun sendiri mahupun hakim atau penonton sekurang-kurangnya tersenyum mendengarnya. Selalu yang terjadi, pemantun akan cuba memalukan pemantun lawan dengan lawak melampau seperti contoh pantun "Hidung tak mancung, muka bak papan" tadi.

Isu2 sensitif juga harus dielak daripada dijadikan pantun soalan mahupun jawapan. Isu perkauman, perbezaan agama, politik atau apa-apa sahaja yang cuba menimbul2kan perbezaan sesama kita mesti dijauhi. Ini juga termasuk isu lelaki lembut, memandangkan ramai daripada mereka tampil secara sukarela mewakili nama universiti mereka demi mengangkat budaya berpantun. Sudahlah penat2 datang dari jauh, di hina cerca pula oleh lelaki ataupun perempuan yang mendakwa diri mereka lebih sejati.

Pantun bukan bertujuan memulakan sengketa, menyakitkan hati pendengar, apatah lagi bermusuh2an selepas pertandingan. Pusing2 pun, pasti bersua juga di alam kerjaya nanti.

7. Tips menjawab cepat dan tepat.
Penulis tidak boleh memberikan tips sebenar menjawab cepat, kerana penulis percaya latihan memainkan peranan. Rekodkan masa menjawab ketika latihan. Pupuk diri menjawab juga pantun yang dijual oleh teman2 ketika berlatih walaupun masa sudah lama tamat. Melalui latihan, penjawab akan lebih yakin di hari pertandingan walaupun pertama kali bertanding.

Untuk menjawab tepat, penulis sekadar berkongsi dari pengalaman lalu. Menjawab tepat 100% adalah mustahil, apatah lagi jika soalan tidak difahami. Jika anda terperangkap dengan situasi itu, tipsnya mudah. Ambil beberapa perkataan dari pantun jualan dan masukkan kedalam pantun jawapan anda. Mungkin anda tidak menjawab dengan tepat, tetapi pantun yang dijual "ala2 menyoal" harus dan adil dipulangkan dengan pantun "ala-ala menjawab".

Bagi soalan yang mudah atau direct sama juga. Ambil sahaja rangkap soalan dan ulang dalam jawapan anda dengan membenarkan atau menidakkan soalan itu. Gunakan "Takkan" bagi menidakkan ataupun "Pasti" untuk sebaliknya. Sebagai contoh jika disoal begini:

"Sudah sempurna zapin ku langkah,
Mengapa membisu bertepuk pun tidak?"

Jawablah begini:

"Pasti membisu bertepuk pun tidak,
Iramanya sumbang membingit telinga."


Kemudian jawablah dengan logik. Gunakan bahasa2 yang digunakan sehari2, kurangkan penggunaan kata pinjaman inggeris.
Penulis teringat dalam satu pertandingan, soalan berbunyi lebih kurang begini:

"Apa gerangan cicak di syiling,
Riang bertepuk masih tak jatuh?"


Dijawab pula begini:

"Pasti di syiling cicak tak jatuh,
Cicak ajaib cicak ultraman!"


Lawak tak? Macam menjawab tetapi "ultraman" tu dah bukan bahasa Melayu dah! Mmg la penonton ketawa mendengar jawapan begitu...tetapi takkan hakim akan memberi markah yang tinggi?
Sekali lagi latihan akan menentukan kecepatan penjawab memikirkan jawapan paling munasabah. Berlatihlah selalu! Jangan tunggu surat jemputan pertandingan difakskan baru nak berlatih, macam penulis..hihihihi!

Jangan menjawab ecapism...pantun menyelamatkan diri. Elakkan menjawab dengan mengaitkan takdir yang sudah tersurat sejak azali, "dah nak jadi, macam mana?" "Tuhan yang mentukan!" Kalau macam tu, baik tak payah tanya, semua orang pun tahu!


8. Gunakan pembayang alam sekitar dan ragam manusia
Hampir di setiap pertandingan hakim yang biasanya wakil DBP mengingatkan perkara ini kepada pemantun.

Gunakan alam sekitar. Bunga2, angin, gunung, pokok, langit. Pastikan anda tahu perkatan tersebut. Ramai sangka "melukut" dalam "melukut di tepi gantang" adalah duduk bertenggong tepi guni beras, tetapi melukut bukanlah kata sifat, malah adalah beras melukut, beras hancur yang dijual murah di pasaran.

Begitu juga "batuk" dalam "melepaskan batuk di tangga", batuk disini bukanlah batuk sakit tekak, tetapi alat mencedok air di rumah dulu2 untuk membasuh kaki sebelum naik tangga rumah. Melepaskan penceduk air pastilah sambil lewa, tutup mata pun boleh sebab ia kan jatuh dalam tempayan berair tu, tak pecah punya!

Elakkan guna benda2 moden seperti "kereta" atau "komputer"...kecuali mmg dah takde perkataan lain!

Sebutan pun kena tepat. "teRENdak" = REN disebut dengan "e" ekor bukan "e" emak. Pernah ditegur oleh hakim dalam ulasan mereka.

9. Syarat2 umum pertandingan pantun mesti dijaga!
Semua umum perkara ini, jadi penulis tidak perlu memanjang lebarkan penerangan, cukup disebutkan ringkas:
*Jangan lebih 12 suku kata dalam sebaris pantun!

*Pembayang MESTI berkait!

*Samakan hujung pembayang "A" dengan maksud "A", begitu juga pembayang "B" dengan maksud "B". Utamakan bunyi. Mungkin "perigi" tak sama dengan "keladi" kerana satu guna huruf "g" satu lagi "d" tetapi tetap sama kerana kedua2 nya berbunyi " i"!!!

*Menyamakan tengah hanya bonus ketika menjawab, tetapi ramai juga hakim yang teliti dalam kesamaan tengah dalam pantun menjual, ini jelas kerana pantun jual dikarang lebih awal. Jadi sepatutnya banyak masa digunakan untuk menyamakan tengah pantun jual anda. Take your time!

*Jangan lebih masa! Jual dan jawab dalam masa yang diperuntukkan!

*Jawab juga soalan anda biar sesusah mana sekalipun. Lebih baik dapat markah sedikit kerana jawapan kurang tepat daripada dapat "0" kerana tidak menjawab langsung soalan.

10. Nervous?
Sekali lagi latihan memainkan peranan. Mind-set juga begitu. Jika anda terlalu nak buat terbaik untuk menang hingga terlupa objektif pantun untuk bermesra, senyum pun kadang2 terlupa. Jadi, mesra2kan diri, ingat bahawa anda berpantun untuk bermesra, bukan nak bergaduh!

11. Habis tu, siapa yang menang akhirnya?
Latihan bukan sahaja cukup, terlebih2 lagi. Semua tips dah ingat. Siapa yang menang kalau kedua2 pihak mempertaruhkan persiapan serupa?

Ingat, kita manusia. Kadang2 terlupa. Kalu dah nervous tu, jangankan membeli...pantun jual pun tak ingat. Pantun mulalah tak sama hujung, suara tak dengar, bibir pun terketar. Inilah peranan rakan sepasukan. Pesan-memesan sebelum naik ke pentas perlu. Tak salah memberikan isyarat mengenai had masa asalkan tidak membuat body contact, mencuit atau berbisik.

Justeru kalau semua dah setanding, pemenang tetap akan dipilih. Disini biasanya pengalaman jadi taruhan. Pemantun yang dah sepuluh kali bertanding pasti lebih tenang daridada first timer. Apatah lagi yang lebih banyak vocabularynyer. Kalau semua pantun asyik guna nama bunga yang sama, pasti hakim lebih tertarik dengan yang lebih kreatif!

Rasanya itu je kot setakat ni yang bisa dikongsi. Kalau ada tambahan nanti, penulis akan edit nanti, ok!

Nak komen pun di alu-alukan. Penulis sengaja campur adukkan bahasa pasar, sebab apa yang penulis tulis sendiri pun bukan rujukan akademik. Sekadar kongsi pengalaman.

Jumpa di MAKUM!

ikhlas;
alangtengahbirukundang,
taman ilmu...

Saturday, August 13, 2005

Pantun dan Kesopanan Pengucapannya

Kenapa kita memperjuangkan pengucapan secara spontan? Apakah rasionalnya? Bagaimana mempraktikkannya secara lebih berkesan? Sila baca : Pantun dan Kesopanan Pengucapannya oleh Dato’ Profesor Emeritus Haji Shahnon Ahmad

Thursday, August 04, 2005

Pantun Perkasihan

Tahniah buat razzuwan, aku tak pernah terfikir nak buat blog untuk pemantun ini. Harap-harapnya semua pemantun taman ilmu akan berkampung di sini sedikit demi sedikit. Kena war-warkanlah blog ni Razz ek? Awal bicara daripada aku, nah aku hadiahkan pantun berkait terpanjang setakat ini yang pernah aku karang.... khas untuk semua...
Indah jambangan daun lamuni
Dipetik orang setiap waktu
Apalah gerangan hatiku ini
Asyik terbayang wajah yang satu

Dipetik orang setiap waktu
Puspa kemboja di perdu sena
Asyik terbayang wajah yang satu
Apa dikerja serba tak kena

Puspa kemboja di perdu sena
Kiambang di kolam sayangnya layu
Apa dikerja serba tak kena
Siang dan malam menanggung rindu

Kiambang di kolam sayangnya layu
Di pinggir sana menguntum melati
Siang dan malam menanggung rindu
Air mata bertasik di hati

Di pinggir sana menguntum melati
Melambai daun menyubur desa
Air mata bertasik di hati
Bagai berkurun memendam rasa

Melambai daun menyubur desa
Di tengah malam tepian anjung
Bagai berkurun memendam rasa
Warkah dan kalam jadi penyambung

Di tengah malam tepian anjung
Semalu menguncup duri melata
Warkah dan kalam jadi penyambung
Tidakku sanggup bertentang mata

Semalu menguncup duri melata
Berkembang bunga di pagi terang
Tidakku sanggup bertentang mata
Bimbang cinta ditolak orang

Berkembang bunga di pagi terang
Silau mentari di balik jati
Bimbang cinta ditolak orang
Walau di hati terasa pasti

Silau mentari di balik jati
Menyeri taman sarang tempua
Walau di hati terasa pasti
Hari depan milik berdua

Menyeri taman sarang tempua
Bersemi kekwa di petang redup
Hari depan milik berdua
Sehati sejiwa melayar hidup

Bersemi kekwa di petang redup
Dibawa pergi ke hujung kota
Sehati sejiwa melayar hidup
Semoga mimpi menjadi nyata

Dibawa pergi ke hujung kota
Seribu puan bunganya dedap
Semoga mimpi menjadi nyata
Kasihmu tuan hamba mengharap

Seribu puan bunganya dedap
Tiada haruman memikat dara
Kasihmu tuan hamba mengharap
Sama berteman duka dan lara

Kuala Lipis
Oktober 2003

Wednesday, August 03, 2005

Assalamualaikum Pembuka Bicara

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim...aku mulakan posting di blogspot untuk pemantun2 taman ilmu..senang nak contact, rancang program dan boleh training online kat sini...ok x? Sebagai pembuka tirai sessi 2005/2006, insyaAllah team taman ilmu akan menghantar wakil ke Pertandingan Berbalas Pantun anjuran MMU Melaka pada 2-4 Sepetember ini! Tahun lepas kitorang xdapat hantar sbb surat jemputan dapat lambat dan terpaksa dibatalkan penyertaan disaat2 akhir..dgr cerita tahun lepas KUSTEM ke final. xpasti sape yang juara. We seek forward on performing our best and winning this compettition, InsyaAllah.

Pesta Pantun MAKUM 2006 akan diadakan di Taman Ilmu buat julung2 kalinya sebagai Tuan Rumah!
Berlangsung pada cuti pertengahan semester Semester 2, 2005/2006, pesta kali ini bakal menyaksikan
penyertaan IPTA (termasuk kolej universiti) paling banyak setakat ini. So, kepada bakal2 pemantun
dari IPTA2, we welcome you to our Garden of Knowledge and Virtue and really seek forward to meet
all of you, buying and selling pantuns! Harap2 budaya melihat menjeling team2 lain dari jauh tidak lagi diamalkan dan ikatan persaudaraan dapat dijalin penuh mesra atas nama kesenian bangsa yang xlapuk
dek hujan, xlekang dek panas! InsyaAllah!


By the way, Poetry Club Taman Ilmu akan mengadakan "Poetry Week" pada 9-15 September 2005 ini. Antara aktiviti2 yang bakal dihidangkan pada sekalian penghuni taman ilmu:
- Pertandingan Deklamasi Sajak (BM/BI) & Mengarang Puisi
- Gema Suara Merdeka [Kolaborasi Persatuan Penulis Nasional - PENA]
- Malam Dekon & Lagu Puisi
-Penutup "Poetry Week" [Kolaborasi Festival Gendang]

Team Pemantun Taman Ilmu akan in charge Malam Dekon dan Lagu Puisi.
Datanglah beramai2..anda di luar turut dialu2kan untuk memeriahkan "Poetry Week"!
The details of this program will be posted later. Check it out!

Ape2 hal, jawab pantun ini!

Di bawah pohon tepi belukar,
Mari minum air kelapa,
Lama bertahun menunggu mekar,
Bunga sekuntum dipetik mengapa?

(pembayang xsedap..lame xpractise!)